Followers

♥ Like Button ♥

Monday, July 19, 2010

Bulan Syaaban

Kini kita berada dalam bulan Syaaban. Bulan kelapan dalam taqwim Islam. Bulan yang penuh kemuliaan dan banyak kelebihan. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah di bulan ini seperti ibadah puasa sunat. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid tentang hikmah puasa yang dilakukan dalam bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud:

”Bulan Syaaban yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa”

Justeru marilah kita perbanyakkan Syaaban ini dengan ibadah berikut:

1. Puasa sunat

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

” Saidina Aisyah pernah berkata:Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat di dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban” (hadis riwayat Bukhari)

Ia juga sebagai latihan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Melazimi perut dengan berlapar akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi Ramadhan agar tidak berlaku kejutan kepada sistem pemerosesan makanan dalam organ badan kita. Puasa ini dikira sebagai ”warm up” sebelum datangnya Ramadhan untuk kita menunaikan puasa wajib pula.

2. Mengkada puasa wajib

Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqada kepada setiap mukallaf. yang diberi keharusan berbuka seperti sakit, musafir, haid, nifas, hamil dan sebagainya. Saidatina Aisyah pernah memberi keterangan kepada Muazah al Adawiah yang bermaksud:

”Maka kita diperintahkan mengqada puasa (kerana kedatangan haid) tidak disuruh mengqada sembahyang yang tertinggal(semasa kedatangan haid)” (Hadis riwayat Muslim)

Perbuatan melengah-lengahkan qada tanpa uzur hingga datang Ramadhan berikutnya adalah berdosa dan diwajibkan ke atasnya qada dan membayar fidyah.Malah fidyah itu akan berganda setiap tahun apabila masih gagal mengqada puasa tersebut. Perlu diingat, puasa qada tidak akan luput dari tanggungjawab seseorang. Malah fidyahnya akan terus berganda selagi ia belum melunaskan puasa tersebut.

Alangkah meriahnya di meja makan ketika berbuka, isteri berbuka kerana puasa qadanya, manakala suami dan anak-anak berbuka kerana puasa sunat. Suasana Ramadhan telah dijelmakan di bulan Syaaban.

3. Memperbanyakkan doa, zikir dan membaca selawat atas Nabi

Amalan seperti berdoa, berzikir dan berselawat akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit” (dipetik dari kitab Zubdatul Maizin)

Dalam kita membicarakan kelebihan bulan Syaaban, kita jangan melupai satu malam yang paling mustajab berdoa, malam pengampunan dan rahmat iaitu malam Nisfu Syaaban. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”dari Abi Musa Al asyari dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:Sesungguhnya rahmat Allah SWT datang pada malam nisfu Syaaban, lalu dia mengampunkan kesalahan kesemua makhluknya melainkan orang musyrik atau orang yangbermusuhan” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, apabila kita mengadakan majlis bacaan yaasin sebanyak tiga kali dan memohon doa agar dipanjangkan usia, dijauhkan dari bala dan dimurahkan rezeki.

Kita juga jangan melupai satu sejarah agung yang tercipta pada 15 Syaaban yang memberi implikasi besar hingga hari ini. Allah telah memerintahkan Rasulullah agar mengadap Baitulahilharam di Mekah dalam solat sebagai ganti arah kiblat sebelum ini iaitu Baitul Maqdis.

Sepanjang mengadap kiblat ke Baitul Maqdis, Rasulullah sering mendapat ejekan dari orang yahudi yang mengatakan Rasulullah mengadap ke arah tempat suci mereka dan orang Islam tiada suatu tempat yang mulia untuk dihadapkan ketika mengerjakan ibadah. Rasulullah SAW sering dicemuh, diperlekeh, lalu baginda bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar dibenarkan mengadap ke arah Masjidil Haram yang sememangnya baginda cenderung ke arahnya. Lalu Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 144 yang bermaksud:

”Kerapkali kami melihat engkau(Wahai Muhammad) berulang-ulang mengadap ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap ke arah yang engkau sukai,oleh itu palingkan ke arah Masjidil Haram(tempat letak Kaabah) .

Suruhan mengadap ke arah Baitulahilharam sangat dinanti baginda agar kemuliaan Baitulhiharam tetap terpelihara yang menyambung risalah tauhid yang pernah dibawa oleh Nabi Ibrahim. Arah kiblat yang satu melambangkan simbol kesatuan umat yang padu dan menjadi pusat tumpuan dan perhimpunan sedunia ketika mengerjakan ibadah haji.

Oleh kerana bulan Syaaban datang hanya sekali dalam setahun, maka ambillah kesempatan untuk meningkatkan amal ibadah dalam usaha memperbaiki diri menuju ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT.



Hadith :

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan syaaban.”

Huraian

1. syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.

2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan syaaban itu ialah bulan syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan

3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan syaaban adalah :

i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan syaaban dan tiga hari pada pertengahan syaaban dan tiga hari pada akhir syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

iii. Bertaubat

iv. Meraikan malam 15 syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.






♥ with love, fara ♥


No comments:

Post a Comment

Kritikan Membina